Total Pageviews

Friday, April 1, 2011

Malas aku nak tegur korang...sendiri mahu ingatlah


Assalamualaikum dan salam sejahtera…
Sebagai seorang manusia yang lemah, pastinya malas sering membelengu diri. Perasaan malas adalah aspek negatif yang sukar dipisahkan dalam hidup kita. Bermalasan memang menyeronokkan dan menenangkan. Walaubagaimanapun untuk menjadi insan yang cemerlang, perasaan malas perlu dilawan.


Malas… bagaimana hendak membenterasnya? Untuk mengetahui cara membenteras penyakit malas, kita perlu faham, mana datangnya sifat “malas” ini.
Malas berpunca dari kita terlalu selesa dengan keadaan semasa kita (zon selesa/comfort zone). Untuk keluar dari zon selesa kita, kita akan rasa berat dan susah. Ini adalah normal bagi semua orang- setiap kali kita nak keluar dari zon selesa kita, secara psychology akan menarikkan kita kembali ke zon selesa.
Berita baiknya adalah, zon selesa manusia berubah-ubah. Apa yang anda perlu lakukan adalah keluar dari zon selesa tersebut secara sedikit-demi sedikit dan pegang pada keadaan semasa yang baru. Lama kelamaan, zon selesa anda akan mengubah mengikut keadaan semasa anda.
Sebagai contoh, sekiranya anda rajin membaca buku 30 minit sehari sahaja. Lebih dari itu, terasa malas (luar dari zon selesa anda). Anda perlu paksa diri anda keluar dari zon selesa itu secara perlahan… mungkin baca selama 45 minit. Sehingga suatu masa nanti, zon selesa anda akan berada pada tahap 45 minit. Apabila ingin membaca lebih dari itu, terasa malas (luar dari zon selesa baru). Apa yang anda perlu lakukan adalah ulangi langkah sehingga anda mencipta zon selesa baru.
                                                                             
Untuk membenteras sikap malas, anda perlu fahami “zon selesa” anda. Semua orang mempunyai zon selesa tersendiri dan ianya boleh diperbaiki. Bagi diri saya, membaca buku sehingga 4 jam adalah zon selesa saya. Membaca lebih dari 4 jam… terasa malas… ;)


MALAS... adalah satu penyakit sebenarnya.. bagi orang yang mempunyai sikap malas ini sebenarnya dia tidak ada kesungguhan untuk berusaha dengan gigih bagi mencapai apa jua peluang, rezeki, masa depan, lain-lain yang diimpikannya.
 
Saya suka membuat perbandingan, antara kualiti kepimpinan yang ada pada semua tokoh perniagaan dunia dan semua tahap peringkat masyarakat marhean. Jika difahami dan didalami, saya tidak nampak satu seorang pun tokoh perniagaan dunia seperti Bill Gates, Warren Buffet atau Tan Sri Syed Mokhtar alBukhary mempunyai sikap malas dalam bisnes mereka.

Itu satu fakta yang perlu diketahui.. MALAS tiada dalam kamus orang-orang yang berjaya. Ini adalah kerana MALAS itu salah satu sikap negatif yang merujuk kepada anti-kejayaan iaitu penghalang kejayaan. Sebab itulah saya selalu berpesan kepada sesapa jua berusaha gigihlah kalo nak berjaya, jangan sekadar berangan tinggi tapi malas nak usaha apa yang diimpikan itu.

Saya banyak belajar daripada pengalaman orang lain terutamanya daripada mantan Managing Director Hijjaz iaitu En Hashim Ngadiman dan juga Managing Director Telagabiru iaitu Tn Hj Waharp yang cukup proaktif dan senantiasa 'menghidu' ruang dan peluang yang ada di depan mereka.

Bagi saya, orang-orang besar dalam bisnes ini memang cukup hebat daripada personaliti. Rajin dan kuat berusaha, bersabar dan cekal, yakin dan percaya dengan apa jua yang mereka lakukan. Sikap-sikap yang positif itulah memberi hasil yang lebih baik daripada sikap negatif. Sebagai contoh orang yang bersikap rajin memberi makna hasil yang didapati lebih baik daripada orang yang sikapnya malas. Ini salah satu bentuk cause and effect, seperti pepatah Arab ada menyebut man jadda wajada , man zaro'a hasada.... ia bermaksud sesiapa yang berusaha dia akan dapat apa yang diusahakannya, sesapa yang menanam dialah yang menuainya...

Sebagai memenuhi topik mengenai malas ini maka saya buat beberapa kategori malas yang boleh kita ambil pengajaran darinya :

1. MALAS MEMBACA
Sikap malas membaca membawa kesan yang cukup besar. Malas membaca bermakna banyak ilmu penting tidak akan diketahui seterusnya menjadikan kejahilan itu sebagai titik utama kegagalan. Kebanyakan CEO-CEO dunia kuat membaca.. ini kerana ia memberi mereka idea-idea hebat semasa mengemudi sesebuah organisasi.. malah kita patut menyelami salah satu ungkapan mahsyur seperti all leaders are readers... semua pemimpin itu adalah pembaca... so kenalah banyakkan membaca kalo nak jadi hebat.. sesungguhnya dengan ilmu Allah menaikkan darjat manusia itu daripada manusia yang tidak berilmu kepada manusia yang dihormati kerana ilmunya..

Berbincang mengenai membaca ini sebenarnya ayat pertama al-Quran yang diturunkan pada 17 ramadhan di waktu Nabi di Gua Hira adalah berkaitrapat dengan Iqra'.. iaitu 'bacalah' dengan nama tuhanmu yang menciptakan.

Betapa pentingnya membaca itu sehingga disentuh peringkat awal Nabi Muhammad diutuskan itu menjadi satu aspek utama sesebuah tamadun itu berjaya. Jika semua orang malas membaca, maka habislah negara. Tiada apa-apa yang boleh dibangunkan agenda ekonomi, sains, teknologi, akademik dan sebagainya. Ini sudah tentu menjadi bencana jika semua orang malas membaca. Oleh itu dalam Islam, menuntut ilmu itu wajib ke atas semua orang muslim.. Kita perlu rajin membaca untuk berjaya, dengan ilmu yang ada itu dipraktikkan untuk kegemilangan masa depan yang lebih baik.


2. MALAS BERFIKIR
Ini juga satu gejala kronik melanda. Ada orang bijaksana tapi menyalahgunakan kebijaksanaan itu untuk perkara sia-sia. Apatah lagi orang malas yang mmg malas nak berfikir sudah tentulah ia telah membazirkan berjuta sel neuron otak yang dikurniakan tuhan untuk hidup mereka.

So kita kenalah jadi insan yang bersyukur, gunakan akal ini untuk berfikir dengan rasional dan bijak. Jangan rosakkan otak ini dengan perkara memudaratkan seperti minum arak, hisap dadah, hisap rokok dan sebagainya. Bila kita berusaha untuk rajin berfikir maka semakin tajamlah daya pemikiran seseorang itu kerana banyak sel neuron yang aktif bekerja. Sebaliknya jika kita malas berfikir maka semakin banyaklah sel neuron 'mati' dan tidak aktif. Orang kata lembab pemikiran ni satu gejala yang perlu dielakkan supaya tidak menjadi masyarakat yang bebal.

Apabila masyarakat bebal maka makin banyaklah aktiviti-aktiviti yang 'lagha' berlaku. Sebagai contoh disogokkan dengan hiburan melampau sehingga meninggalkan solat dan dicemari aktiviti tidak bermoral maka ia sebenarnya merujuk kepada tahap pemikiran yang masih rendah seperti zaman jahiliah. Orang-orang yang tahu berseronok sahaja dan malas berfikir mengenai kehidupan yang lebih serius untuk berjaya maka kesannya rosaklah generasi dari masa ke semasa.

Makin banyak penghibur daripada para cendekiawan ini bermakna makin banyak kejahilan daripada kealiman. Sepatutnya jika anda rajin berfikir sudah tentu boleh menyelami apa yang berlaku pada masyarakat sekarang. Trend akhir zaman di mana anak-anak muda lebih suka kerja yang popular dan lumayan dengan mudah melalui menjadi penyanyi segera. Kalo diikutkan ini satu trend yang bahaya, terlalu banyak hiburan menjadikan sesebuah masyarakat itu malas berfikir untuk masa depan. Tahu berseronok dan membiarkan masalah yang ada seolah tiada apa-apa.. Ini satu sindrom malas berfikir yang perlu diambil perhatian serius wahai sahabat-sahabatku..


3. MALAS BERUSAHA
Kategori ke3 yang saya rasa semua orang mengetahuinya. Kategori ini memang berkaitrapat dengan apa yang saya nak simpulkan dengan topik ini. Ada orang nak cepat kaya tapi malas berusaha. Ada orang nak buat bisnes nak cepat kaya tapi malas nak berusaha untuk berjaya.

Saya rasa tahap pemikiran seperti ini adalah kerana kurangnya ilmu dan pemikiran.. Ia menjelaskan kategori satu dan dua berkaitrapat. Kerana malas membaca dan malas berfikir membuatkan sesorang itu malas berusaha.

Jika dia rajin membaca, mengetahui banyak perkara ajaib dalam hidup sudah tentulah dia akan rajin berfikir untuk masa depannya then kuat berusaha untuk mencapai apa jua yang diimpikan.


Fi khulasatil qaul.. sebagai kesimpulan, kesemua kategori ini adalah sikap-sikap negatif yang anti-kejayaan perlu dihindarkan dalam hidup kita. Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan juga kepada sahabat-sahabat di luar sana, usahlah malas membaca, usahlah malas berfikir dan usahlah tegar berusaha gigih.

No comments:

Post a Comment